Followers

15 April 2010

Saya Mestilah Muslim di Sudut Ibadah (part 1)

Assalamualaikum w.b.t
Segala puji hanya bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam diutuskan buat baginda Rasulullah SAW serta keluarga dan para sahabat. Alhamdulillah, pada lembaran yang lepas kita telah meneliti soal aqidah. Jadi insyaAllah pada lembaran kali ini dan seterusnya, kita akan menyentuh soal ibadah.

Ibadah di dalam Islam merupakan kemuncak bagi sifat kepatuhan dan kerendahan kepada Allah dan ia juga adalah kemuncak betapa ia merasai keagungan Tuhan yang disembah. Ia menjadi anak tangga pertatehan di antara si hamba dengan Tuhannya. Ibadah ini juga memberi kesan yang mendalam di dalam perhubungan manusia dengan makhluk lainnya. Begitu juga dengan ibadah-ibadah dalam rukun Islam seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji serta amalan-amalan lainnya yang dilaksanakan untuk mendapat keredaan Ilahi dan dalam mengamalkan Syariat-Nya adalah termasuk dalam pengertian 'ibadah. Bertitik tolak dari pengertian inilah Islam menetapkan supaya seluruh hidup manusia dipelihara agar menjadi 'ibadah
dan taat kepada Allah s.w.t seperti yang dinyatakan oleh Allah:

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya." (Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)

Firman Allah seterusnya:
"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam."
(Surah Al-An'am 6: Ayat 162)

1- Saya mestilah memastikan 'ibadah saya mempunyai hubungan dengan Tuhan yang disembah. Inilah apa yang dikatakan martabat "keihsanan dalam 'ibadah". Rasulullah s.a.w sendiri pernah ditanya (oleh malaikat Jibril) tentang martabat "ihsan" ini, lalu baginda
menjawab:
"Bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatnya (sekalipun) sebenarnya Ia melihat engkau (Hadis Muttafaqun 'Alaih).

2- Saya mestilah melakukan 'ibadah dengan penuh khusyuk sehingga saya dapat merasai kelazatan serta kemanisannya malah mendatangkan kekuatan kepada saya untuk berterusan
mengerjakannya. 'Aisyah r.a mengatakan:
"Adalah Rasulullah s.a.w berbicara dengan kami dan kami juga berbicara dengannya tetapi bila tiba sahaja waktu sembahyang ia seolah-olah tidak mengenali kami dan kami pula tidak mengenalinya." (Hadis diriwayatkan oleh Al-Azdi)

Kekhusyukan inilah yang diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w:
"Berapa ramai orang yang mengerjakan sembahyang, habuan yang ia terima hanyalah penat dan lelah." (Hadis Riwayat Al-Nasa'i)

"Berapa ramai orang yang berpuasa, ia tidak memperolehi apa-apa ganjaran kecuali lapar dan dahaga." (An-Nasa’I dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah)

3- Saya mestilah beribadah dalam keadaan hati saya merasai kehadiran Allah, membuang dan melupakan kesibukan dunia dan hirukpikuknya. Beribadat dalam keadaan seperti inilah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya:
"Allah s.w.t tidak memandang kepada sembahyang seorang lelaki yang mengerjakan tanpa kehadiran hati berserta gerak badannya." (Hadith ini diriwayatkan juga oleh Abu Mansur Ad-Dailami dalam “Musnad Al-Firdaus” daripada Ubayy Ibn. Ka’ab dan sanadnya da’if.)

Berkata 'ulama':
"Sembahyang itu adalah urusan akhirat, maka kamu masuk menunaikannya (bererti) kamu telah keluar dari dunia."

Al-Hassan Al-Basri meriwayatkan:
"Setiap sembahyang yang tidak disertai kehadiran hati, maka ia adalah lebih hampir kepada seksaan."

4- Saya mesti beribadat dalam keadaan sentiasa ingin menambahnya, tidak merasa cukup dan tidak kenyang. Saya perlu menghampirkan diri kepada Allah dengan amalan-amalan sunat sebagai menyahut seruan Allah, di dalam sebuah hadis qudsi:
"Sesiapa yang memusuhi kekasihku (waliKu), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Tidak ada satu perbuatan mendekatkan diri (taqarrab) kepada Aku oleh hambaKu yang lebih Aku cintai selain daripada kewajipankewajipan yang Aku fardukan ke atasnya. Hamba Ku akan terus beramal menghampiri diri kepadaKu dengan melakukan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku sudah mencintainya maka Aku (menjadikan) pendengarannya yang dengannya dia mendengar, penglihatannya yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya dia memukul dan kakinya yang dengannya dia berjalan. Jika dia memohon
sesuatu dari Aku nescaya Aku berikannya. Dan jika dia memohon perlindungan Aku (dari sesuatu) nescaya Aku akan melindunginya. Aku tidak pernah ragu dari sesuatu yang Aku lakukan seperti Aku ragu (hendak mengambil) nyawa hambaKu yang Mukmin, di mana dia membenci maut sedang Aku tidak menyakitinya." (Hadis oleh Al-Bukhari)

5- Saya mestilah mengambil berat terhadap ibadat qiamullail (sembahyang malam) serta melatih diri melakukannya sehingga ia menjadi satu kebiasaan. Ini adalah kerana qiamullail itu adalah sumber kekuatan yang memantapkan iman. Sungguh benar firman Allah:
"Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya."
(Surah Al-Muzammil 73: Ayat 6)

Allah s.w.t juga menerangkan sifat hamba-hambanya yang mukmin:
"Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: Masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)."
(Surah Al-Zariat 51:Ayat 17-18)

Firman Allah seterusnya:
"Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka."
(Surah Al-Sajdah 32: Ayat 16)

Di antara amalan-amalan sunat yang dikerjakan antara lain qiamullail, sembahyang dhuha, sembahyang tarawih, puasa pada hari Isnin dan Khamis, puasa pada Hari Arafah, puasa pada Hari Asyura, puasa enam hari dalam bulan Syawal, tiga hari di setiap pertengahan bulan (13,14 dan 15) dan beriktikaf di masjid.

InsyaAllah kita akan menyambung perbincangan kita tentang ibadah pada lembaran akan datan, dengan izin Allah. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan