Assalamualaikum wbt.
Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam, Maha Pemurah lagi Maha Pengampun, Maha Menguasai hari pembalasan. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, Tuhan sepanjang zaman, Penguasa syurga dan neraka. Selawat serta salam buat baginda Rasulullah SAW yang telah diutus sebagai pembawa rahmat kepada manusia. Aku bersaksi bahawa dialah pesuruh Allah SWT. Selawat serta salam ke atas baginda, keluarga dan para sahabat serta kepada umat baginda, Muhammad SAW sehingga hari pembalasan.
Peperiksaan pertengahan semester 3 telah berlalu dan kebanyakannya sudah mengetahui keputusan masing-masing. Jadi bagaimana dengan keputusan para sahabat ana? Tahniah buat yang berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang dan baik. Banyak-banyakkanlah bersyukur kepada Allah di atas kurniaanNya itu. Untuk yang mendapat keputusan yang kurang cemerlang, jangan bersedih hati. Sesungguhnya semuanya telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk menguji hamba-hambaNya.
Sudah menjadi lumrah kehidupan bahawa manusia akan mengalami stress dan kebimbangan, kerana dunia ini adalah tempat bencana, kesusahan dan penderitaan. Jadi, yang membezakan syurga dan dunia ialah bahawa tiada penderitaan dan kesusahan di syurga sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud;
(Al-Hijr : 48)
Tiada suatu pun yang akan mengganggu penghuni syurga walaupun hanya sepatah perkataan seperti yang diwahyukan Allah dalam Surah Al-Waqiah yang bermaksud;
(Al-Waqiah : 25-26)
Sudah menjadi lumrah kehidupan juga bahawa manusia dilahirkan untuk menghadapi penderitaan dan kesusahan untuk pelbagai sebab sepertimana yang disebut di dalam Al-Quran yang bermaksud;
(Al-Balad : 4)
Sesungguhnya manusia akan sentiasa menyesal mengenangkan kesedihan masa lepasnya, bimbang tentang masa depannya dan risau tentang hidupnya pada hari ini.
Tindakan setiap manusia terhadap stress dan tekanan amat berbeza bergantung pada situasi. Kita boleh mengklasifikasikan hati manusia kepada 2 iaitu hati yang ditakhtai Allah; dipenuhi dengan cahaya, penghidupan, kegembiraan, kebaikan dan hati yang ditakhtai syaitan; yang dipenuhi tekanan, kesedihan, dan keraguan.
Islam itu agama yang lengkap sehinggakan cara-cara menangani stress juga diajar oleh agama kita yang mulia ini. Berikut ini antara langkah yang boleh kita amalkan untuk mengani stress:
1) Melangkapi diri dengan iman dan amal-amal soleh.
Allah berfirman dalam surah An-Nahl yang bermaksud;
“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”
(An-Nahl : 97)
2) Berfikir bagaimana seorang Muslim boleh menebus dosanya, membersihkan hatinya dan meninggikan darjatnya di sisi Allah apabila ditimpa masalah dalam hidup.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Tiada penyakit, keletihan, kesedihan atau musibah menimpa seorang Muslim, walaupun hanya dicucuk duri, selain dia mendapat keampunan daripada Allah terhadap dosa-dosanya.”
3) Memahami realiti kehidupan dunia.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Dunia ini adalah penjara untuk Muslim dan syurga untuk Kafir.”
4) Mencontohi Rasulullah SAW dan alim ulama’.
Sa’ad RA bertanya Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah SAW, siapakah yang akan banyak diuji dengan kesedihan?” Rasulullah SAW menjawab, “Rasul-rasulNya, kemudian mereka yang hadir selepas rasul-rasulNya (dari segi darjat), kemudian mereka yang selepasnya. Seorang manusia akan diuji berdasarkan tahap keimanan mereka. Jika iman mereka tinggi, maka mereka akan diuji dengan ujian yang lebih hebat; dan jika imannya rendah, mereka akan diuji berdasarkan keimanan mereka. Musibah akan sentiasa menimpa manusia sehingga mereka berjalan di atas muka bumi tanpa dosa.”
5) Menjadikan kehidupan akhirat sebagai kebimbangan yang utama.
Anas RA meriwayatkan, berkata Rasulullah SAW, “Sesiapa yang menjadikan akhirat sebagai kebimbangan yang utama, Allah akan memenuhkan hatinya dengan kekayaan dan kebebasan; dia akan merasa aman dan merasa hidupnya lengkap, dan dunia ini akan hadir padanya. Sesiapa yang menjadikan dunia sebagai kebimbangannya yang utama, Allah akan memenuhi hatinya dengan ketakutan pada kemiskinan, dia akan selalu terganggu dan tidak tenteram, dan dia tidak akan memiliki apa-apa pun di dunia ini selain yang telah ditetapkan untuknya.”
6) Mengingati mati.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Selalulah ingat kepada yang akan memusnahkan kesukaan kamu; kematian, kerana tiada yang mengingati mati dalam situasi yang rumit melainkan urusannya akan menjadi mudah, dan tiada yang mengingati mati dalam situasi yang menyenangkan, melainkan urusannya akan menjadi semakin sukar.”
7) Berdoa kepada Allah SWT, semoga diperkenankanNya.
Apabila kesedihan dan musibah menimpa seseorang, pintu doa tidak pernah tertutup untuk mereka. Apabila mereka mencari Yang Maha Pemurah, Dia akan sentiasa menyahut panggilan mereka dan memberi apa yang mereka pintakan. Allah SWT bersabda yang bermaksud;
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”
(Al-Baqarah : 186)
8) Berdoa (berselawat) kepada Rasulullah SAW.
Al-Tufayl Ibnu Ubayy Ibnu Ka’b menceritakan bahawa ayahnya menceritakan, “Apabila dua pertiga malam telah berlalu, Rasulullah SAW akan bangun dan berkata, “Wahai manusia, ingatlah Allah, ingatlah Allah. Tiupan sengkakala yang pertama telah datang, dan akan diikuti oleh tiupan yang kedua. Kematian telah datang dengan semua yang disifatkan, kematian telah dating dengan semua yang disifatkan.” Aku berkata, “Wahai Rasulullah, aku banyak berdoa kepadamu. Berapa banyak doa yang harus aku tujukan untukmu?” Baginda menjawab, “Sebanyak yang kamu mahu.” Aku bertanya lagi, “Satu pertiga?” Baginda menjawab, “Sebanyak yang kamu mahu. Dan jika kamu meningkatkannya, ianya baik untuk kamu.” Aku bertanya lagi, “Separuh?” Baginda menjawab, “Sebanyak yang kamu mahu. Dan jika kamu meningkatkannya, ianya baik untuk kamu.” Aku berkata, “Dua pertiga?” Rasulullah SAW menjawab, “Sebanyak yang kamu mahu. Dan jika kamu meningkatkannya, ianya baik untuk kamu.” Aku berkata, “Akan aku tujukan semua doa untuk kamu.” Baginda kemudian berkata, “Jika begitu, segala kebimbanganmu akan dipelihara dan dosamu akan diampunkan.”
9) Bergantung harap dan menyerahkan semua urusan hanya kepada Allah SWT.
“Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
(Al-Talaq : 3)
10) Memberikan tumpuan kepada perkara yang bermanfaat sahaja, fokus hanya kepada kehidupan hari ini, tidak bimbang tentang apa yang akan berlaku pada masa depan atau menyesali yang telah lalu.
Abu Hurairah RA menceritakan Rasulullah SAW bersabda, “Muslim yang berpegang teguh adalah lebih baik dan lebih menyayangi Allah daripada yang lemah pegangan, dan kedua-duanya adalah baik. Berikan tumpuan kepada perkara yang mampu memberi manfaat buat kamu, mintalah pertolongan daripada Allah dan jangan pernah merasa tidak mampu. Jika sesuatu menimpa kamu, jangan berkata, “Jika saya berbuat begini dan begini, tentu perkara begitu akan terjadi.” Tetapi katalah, “Ini adalah ketentuan Allah dan keizinan Allah, Allah yang lakukannya,” daripada berkata, “Jika hanya” kerana ia membuka pintu untuk syaitan.
11) Mengingati Allah (zikrullah).
“"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
(Ar-Rad : 28)
12) Memohon perlindungan dalam setiap doa.
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;”
(Al-Baqarah : 45)
13) Jihad di jalan Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Kamu mestilah berjuang dalam jihad di jalan Allah, kerana ia adalah salah satu pintu ke syurga, dan Allah hilangkan kedukaan dan kebimbangan melaluinya.”
14) Menyebut-nyebut rahmat Allah baik yang jelas mahupun yang tersembunyi.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bersabda Rasulullah SAW, “Lihatlah kepada mereka yang berada di bawah kamu dan bukannya yang di atas kamu, supaya kamu tidak menganggap rahmat Allah ke atasmu itu sedikit.”
15) Menyibukkan diri dengan perkara-perkara berfaedah atau mencari ilmu yang bermanfaat.
16) Mencari sesuatu yang positif daripada sesuatu perkara selain mencari perkara negatif sahaja.
Abu Hurairah RA berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tiada seorang Muslim pun yang harus membenci Muslimah lain. Jika dia tidak menyukai salah satu sikap Muslimah tersebut, tetapi dia akan senang dengan sikapnya yang lain.”
17) Memahami bahawa hidup ini singkat dan masa amat berharga untuk dibazirkan dengan kebimbangan dan mengenangkan kedukaan.
18) Tidak menangguhkan sebarang kerja atau tugasan.
19) Selalu menjangka dan bersedia untuk pelbagai kemungkinan.
20) Menceritakan kepada para ulama’ dan meminta pendapat mereka.
Para tabi’in juga mengadu kepada para sahabat. Al-Zubair Ibn ‘Adi berkata, “Kami pergi berjumpa Anas bin Malik dan mengadu kepadanya tentang kesengsaraan kami semasa mengerjakan Haji.” Beliau memberitahu kami, “Bersabarlah, kerana tidak akan dating suatu masa lain melainkan masa itu lebih teruk, sehingga kamu berjumpa Tuhan kamu. Aku mendengarnya daripada Rasulullah SAW.”
21) Seseorang perlu tahu bahawa selepas kesusahan pasti datangnya kemudahan.
Allah SWT bersabda yang bermaksud, “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”
(Al-Sharh : 5-6)
22) Pengubat lain adalah sesetengah jenis makanan.
Semoga para sahabat dan saya sendiri dapat mengamalkan saranan Islam dalam menghadapi sebarang masalah dan musibah. Dan semoga Allah memberkati kehidupan kita semua. Sekian dahulu untuk coretan kali ini, semoga kita berjumpa lagi, insyaAllah.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan