Followers

16 April 2010

Saya Mestilah Muslim di Sudut Ibadah (part 2)

6- Saya mestilah meluangkan waktu tertentu untuk membaca Al-Quran dengan cara merenungi maksud dan pengajarannya terutama di waktu dhuha kerana Allah berfirman;
Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya). 
(Surah Al-Isra' 17: Ayat 78).

Saya mesti membacanya dengan penuh tadabbur, berfikir, merenunginya dengan khusyuk dan sedih kerana sabda Rasulullahs.a.w: 
"Sesunguhnya Al-Quran diturunkan dalam keadaan dukacita, maka apabila kamu membacanya hendaklah kamu merasakan kedukacitaan tersebut."
(Diriwayatkan oleh Abu Ya'la dan Abu Nu'aim).

Demikian juga saya mestilah sentiasa ingat peringatan Allah dalam firmanNya:
Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah dan (ingatlah). 
(Surah Al-Hasyr 59: Ayat 21).

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Tidaklah beriman dengan Al-Quran oleh orang yang menghalalkan apa yang diharamkan oleh Al-Quran" (Diriwayatkan oleh Al-Tirmizi)

Sabdanya lagi:
"Ibadah yang paling utama bagi umatku ialah membaca Al-Quran".
(Diriwayatkan oleh Abu Nu'aim di dalam Fadha'ilul-Quran)

Di dalam sebuah hadis dari 'Abdullah bin Mas'ud Rasulullah bersabda:
"Sesungguhnya Al-Quran ini adalah hidangan Allah, oleh itu hendaklah kamu menyebutnya sekadar yang terdaya oleh kamu menyebutnya. Sesungguhnya Al-Quran ini adalah tali Allah, cahaya yang terang benderang
dan penawar yang berguna. Penjaga kepada siapa yang berpegang kepadanya, jaminan kejayaan bagi yang mengikutinya. Ia tidak salah yang menyebabkan ia tercela, ia tidak bengkok yang menyebabkan ia perlu diperbetulkan,keajaibannya tidak kunjung habis dan ia tidak menjadi cacat sekalipun banyak (kandungannya) ditolak orang. Bacalah Al-Quran kerana Allah akan memberi ganjaran ke atas setiap huruf dari bacaanmu dengan sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan kepadamu Alif, Lam, Mim itu satu huruf tetapi Alif satu
huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf."
(Riwayat Al-Hakim)

Dalam satu wasiat kepada Abu Zar Rasulullah berkata:
"Kamu wajib melazimkan dirimu membaca Al-Quran kerana ia adalah cahaya untuk kamu di bumi dan perbendaharaan untuk di langit."
(Riwayat Ibnu Hibban)

7- Saya mestilah menjadikan doa sebagai perantaraan dengan Allah di dalam setiap urusan hidup kerana doa adalah otak bagi segala 'ibadah. Untuk itu saya mestilah memilih doa-doa yang ma'thur dari
Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya benar firman Allah bila Ia mengatakan:\
Amiin

15 April 2010

Saya Mestilah Muslim di Sudut Ibadah (part 1)

Assalamualaikum w.b.t
Segala puji hanya bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam diutuskan buat baginda Rasulullah SAW serta keluarga dan para sahabat. Alhamdulillah, pada lembaran yang lepas kita telah meneliti soal aqidah. Jadi insyaAllah pada lembaran kali ini dan seterusnya, kita akan menyentuh soal ibadah.

Ibadah di dalam Islam merupakan kemuncak bagi sifat kepatuhan dan kerendahan kepada Allah dan ia juga adalah kemuncak betapa ia merasai keagungan Tuhan yang disembah. Ia menjadi anak tangga pertatehan di antara si hamba dengan Tuhannya. Ibadah ini juga memberi kesan yang mendalam di dalam perhubungan manusia dengan makhluk lainnya. Begitu juga dengan ibadah-ibadah dalam rukun Islam seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji serta amalan-amalan lainnya yang dilaksanakan untuk mendapat keredaan Ilahi dan dalam mengamalkan Syariat-Nya adalah termasuk dalam pengertian 'ibadah. Bertitik tolak dari pengertian inilah Islam menetapkan supaya seluruh hidup manusia dipelihara agar menjadi 'ibadah
dan taat kepada Allah s.w.t seperti yang dinyatakan oleh Allah:

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya." (Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)

Firman Allah seterusnya:
"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam."
(Surah Al-An'am 6: Ayat 162)

1- Saya mestilah memastikan 'ibadah saya mempunyai hubungan dengan Tuhan yang disembah. Inilah apa yang dikatakan martabat "keihsanan dalam 'ibadah". Rasulullah s.a.w sendiri pernah ditanya (oleh malaikat Jibril) tentang martabat "ihsan" ini, lalu baginda
menjawab:
"Bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatnya (sekalipun) sebenarnya Ia melihat engkau (Hadis Muttafaqun 'Alaih).

2- Saya mestilah melakukan 'ibadah dengan penuh khusyuk sehingga saya dapat merasai kelazatan serta kemanisannya malah mendatangkan kekuatan kepada saya untuk berterusan
mengerjakannya. 'Aisyah r.a mengatakan:
"Adalah Rasulullah s.a.w berbicara dengan kami dan kami juga berbicara dengannya tetapi bila tiba sahaja waktu sembahyang ia seolah-olah tidak mengenali kami dan kami pula tidak mengenalinya." (Hadis diriwayatkan oleh Al-Azdi)

Kekhusyukan inilah yang diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w:
"Berapa ramai orang yang mengerjakan sembahyang, habuan yang ia terima hanyalah penat dan lelah." (Hadis Riwayat Al-Nasa'i)

"Berapa ramai orang yang berpuasa, ia tidak memperolehi apa-apa ganjaran kecuali lapar dan dahaga." (An-Nasa’I dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah)

3- Saya mestilah beribadah dalam keadaan hati saya merasai kehadiran Allah, membuang dan melupakan kesibukan dunia dan hirukpikuknya. Beribadat dalam keadaan seperti inilah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya:
"Allah s.w.t tidak memandang kepada sembahyang seorang lelaki yang mengerjakan tanpa kehadiran hati berserta gerak badannya." (Hadith ini diriwayatkan juga oleh Abu Mansur Ad-Dailami dalam “Musnad Al-Firdaus” daripada Ubayy Ibn. Ka’ab dan sanadnya da’if.)

Berkata 'ulama':
"Sembahyang itu adalah urusan akhirat, maka kamu masuk menunaikannya (bererti) kamu telah keluar dari dunia."

Al-Hassan Al-Basri meriwayatkan:
"Setiap sembahyang yang tidak disertai kehadiran hati, maka ia adalah lebih hampir kepada seksaan."

4- Saya mesti beribadat dalam keadaan sentiasa ingin menambahnya, tidak merasa cukup dan tidak kenyang. Saya perlu menghampirkan diri kepada Allah dengan amalan-amalan sunat sebagai menyahut seruan Allah, di dalam sebuah hadis qudsi:
"Sesiapa yang memusuhi kekasihku (waliKu), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Tidak ada satu perbuatan mendekatkan diri (taqarrab) kepada Aku oleh hambaKu yang lebih Aku cintai selain daripada kewajipankewajipan yang Aku fardukan ke atasnya. Hamba Ku akan terus beramal menghampiri diri kepadaKu dengan melakukan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku sudah mencintainya maka Aku (menjadikan) pendengarannya yang dengannya dia mendengar, penglihatannya yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya dia memukul dan kakinya yang dengannya dia berjalan. Jika dia memohon
sesuatu dari Aku nescaya Aku berikannya. Dan jika dia memohon perlindungan Aku (dari sesuatu) nescaya Aku akan melindunginya. Aku tidak pernah ragu dari sesuatu yang Aku lakukan seperti Aku ragu (hendak mengambil) nyawa hambaKu yang Mukmin, di mana dia membenci maut sedang Aku tidak menyakitinya." (Hadis oleh Al-Bukhari)

5- Saya mestilah mengambil berat terhadap ibadat qiamullail (sembahyang malam) serta melatih diri melakukannya sehingga ia menjadi satu kebiasaan. Ini adalah kerana qiamullail itu adalah sumber kekuatan yang memantapkan iman. Sungguh benar firman Allah:
"Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya."
(Surah Al-Muzammil 73: Ayat 6)

Allah s.w.t juga menerangkan sifat hamba-hambanya yang mukmin:
"Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: Masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)."
(Surah Al-Zariat 51:Ayat 17-18)

Firman Allah seterusnya:
"Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka."
(Surah Al-Sajdah 32: Ayat 16)

Di antara amalan-amalan sunat yang dikerjakan antara lain qiamullail, sembahyang dhuha, sembahyang tarawih, puasa pada hari Isnin dan Khamis, puasa pada Hari Arafah, puasa pada Hari Asyura, puasa enam hari dalam bulan Syawal, tiga hari di setiap pertengahan bulan (13,14 dan 15) dan beriktikaf di masjid.

InsyaAllah kita akan menyambung perbincangan kita tentang ibadah pada lembaran akan datan, dengan izin Allah. Wassalam.

13 April 2010

Anda Stress??

Assalamualaikum wbt.


Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam, Maha Pemurah lagi Maha Pengampun, Maha Menguasai hari pembalasan. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, Tuhan sepanjang zaman, Penguasa syurga dan neraka. Selawat serta salam buat baginda Rasulullah SAW yang telah diutus sebagai pembawa rahmat kepada manusia. Aku bersaksi bahawa dialah pesuruh Allah SWT. Selawat serta salam ke atas baginda, keluarga dan para sahabat serta kepada umat baginda, Muhammad SAW sehingga hari pembalasan.


Peperiksaan pertengahan semester 3 telah berlalu dan kebanyakannya sudah mengetahui keputusan masing-masing. Jadi bagaimana dengan keputusan para sahabat ana? Tahniah buat yang berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang dan baik. Banyak-banyakkanlah bersyukur kepada Allah di atas kurniaanNya itu. Untuk yang mendapat keputusan yang kurang cemerlang, jangan bersedih hati. Sesungguhnya semuanya telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk menguji hamba-hambaNya.


Sudah menjadi lumrah kehidupan bahawa manusia akan mengalami stress dan kebimbangan, kerana dunia ini adalah tempat bencana, kesusahan dan penderitaan. Jadi, yang membezakan syurga dan dunia ialah bahawa tiada penderitaan dan kesusahan di syurga sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud;

Mereka tidak akan disentuh susah payah dalam Syurga itu, dan mereka pula tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripadanya.”

(Al-Hijr : 48)


Tiada suatu pun yang akan mengganggu penghuni syurga walaupun hanya sepatah perkataan seperti yang diwahyukan Allah dalam Surah Al-Waqiah yang bermaksud;

“Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; Mereka hanya mendengar ucapan: “Selamat! Selamat!” (dari satu kepada yang lain).”

(Al-Waqiah : 25-26)


Sudah menjadi lumrah kehidupan juga bahawa manusia dilahirkan untuk menghadapi penderitaan dan kesusahan untuk pelbagai sebab sepertimana yang disebut di dalam Al-Quran yang bermaksud;

“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya).”

(Al-Balad : 4)


Sesungguhnya manusia akan sentiasa menyesal mengenangkan kesedihan masa lepasnya, bimbang tentang masa depannya dan risau tentang hidupnya pada hari ini.


Tindakan setiap manusia terhadap stress dan tekanan amat berbeza bergantung pada situasi. Kita boleh mengklasifikasikan hati manusia kepada 2 iaitu hati yang ditakhtai Allah; dipenuhi dengan cahaya, penghidupan, kegembiraan, kebaikan dan hati yang ditakhtai syaitan; yang dipenuhi tekanan, kesedihan, dan keraguan.


Islam itu agama yang lengkap sehinggakan cara-cara menangani stress juga diajar oleh agama kita yang mulia ini. Berikut ini antara langkah yang boleh kita amalkan untuk mengani stress:


1) Melangkapi diri dengan iman dan amal-amal soleh.

Allah berfirman dalam surah An-Nahl yang bermaksud;

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.

(An-Nahl : 97)


2) Berfikir bagaimana seorang Muslim boleh menebus dosanya, membersihkan hatinya dan meninggikan darjatnya di sisi Allah apabila ditimpa masalah dalam hidup.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Tiada penyakit, keletihan, kesedihan atau musibah menimpa seorang Muslim, walaupun hanya dicucuk duri, selain dia mendapat keampunan daripada Allah terhadap dosa-dosanya.”


3) Memahami realiti kehidupan dunia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Dunia ini adalah penjara untuk Muslim dan syurga untuk Kafir.”


4) Mencontohi Rasulullah SAW dan alim ulama’.

Sa’ad RA bertanya Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah SAW, siapakah yang akan banyak diuji dengan kesedihan?” Rasulullah SAW menjawab, “Rasul-rasulNya, kemudian mereka yang hadir selepas rasul-rasulNya (dari segi darjat), kemudian mereka yang selepasnya. Seorang manusia akan diuji berdasarkan tahap keimanan mereka. Jika iman mereka tinggi, maka mereka akan diuji dengan ujian yang lebih hebat; dan jika imannya rendah, mereka akan diuji berdasarkan keimanan mereka. Musibah akan sentiasa menimpa manusia sehingga mereka berjalan di atas muka bumi tanpa dosa.”


5) Menjadikan kehidupan akhirat sebagai kebimbangan yang utama.

Anas RA meriwayatkan, berkata Rasulullah SAW, “Sesiapa yang menjadikan akhirat sebagai kebimbangan yang utama, Allah akan memenuhkan hatinya dengan kekayaan dan kebebasan; dia akan merasa aman dan merasa hidupnya lengkap, dan dunia ini akan hadir padanya. Sesiapa yang menjadikan dunia sebagai kebimbangannya yang utama, Allah akan memenuhi hatinya dengan ketakutan pada kemiskinan, dia akan selalu terganggu dan tidak tenteram, dan dia tidak akan memiliki apa-apa pun di dunia ini selain yang telah ditetapkan untuknya.”


6) Mengingati mati.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Selalulah ingat kepada yang akan memusnahkan kesukaan kamu; kematian, kerana tiada yang mengingati mati dalam situasi yang rumit melainkan urusannya akan menjadi mudah, dan tiada yang mengingati mati dalam situasi yang menyenangkan, melainkan urusannya akan menjadi semakin sukar.”


7) Berdoa kepada Allah SWT, semoga diperkenankanNya.

Apabila kesedihan dan musibah menimpa seseorang, pintu doa tidak pernah tertutup untuk mereka. Apabila mereka mencari Yang Maha Pemurah, Dia akan sentiasa menyahut panggilan mereka dan memberi apa yang mereka pintakan. Allah SWT bersabda yang bermaksud;

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

(Al-Baqarah : 186)


8) Berdoa (berselawat) kepada Rasulullah SAW.

Al-Tufayl Ibnu Ubayy Ibnu Ka’b menceritakan bahawa ayahnya menceritakan, “Apabila dua pertiga malam telah berlalu, Rasulullah SAW akan bangun dan berkata, “Wahai manusia, ingatlah Allah, ingatlah Allah. Tiupan sengkakala yang pertama telah datang, dan akan diikuti oleh tiupan yang kedua. Kematian telah datang dengan semua yang disifatkan, kematian telah dating dengan semua yang disifatkan.” Aku berkata, “Wahai Rasulullah, aku banyak berdoa kepadamu. Berapa banyak doa yang harus aku tujukan untukmu?” Baginda menjawab, “Sebanyak yang kamu mahu.” Aku bertanya lagi, “Satu pertiga?” Baginda menjawab, “Sebanyak yang kamu mahu. Dan jika kamu meningkatkannya, ianya baik untuk kamu.” Aku bertanya lagi, “Separuh?” Baginda menjawab, “Sebanyak yang kamu mahu. Dan jika kamu meningkatkannya, ianya baik untuk kamu.” Aku berkata, “Dua pertiga?” Rasulullah SAW menjawab, “Sebanyak yang kamu mahu. Dan jika kamu meningkatkannya, ianya baik untuk kamu.” Aku berkata, “Akan aku tujukan semua doa untuk kamu.” Baginda kemudian berkata, “Jika begitu, segala kebimbanganmu akan dipelihara dan dosamu akan diampunkan.”


9) Bergantung harap dan menyerahkan semua urusan hanya kepada Allah SWT.

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

(Al-Talaq : 3)


10) Memberikan tumpuan kepada perkara yang bermanfaat sahaja, fokus hanya kepada kehidupan hari ini, tidak bimbang tentang apa yang akan berlaku pada masa depan atau menyesali yang telah lalu.

Abu Hurairah RA menceritakan Rasulullah SAW bersabda, “Muslim yang berpegang teguh adalah lebih baik dan lebih menyayangi Allah daripada yang lemah pegangan, dan kedua-duanya adalah baik. Berikan tumpuan kepada perkara yang mampu memberi manfaat buat kamu, mintalah pertolongan daripada Allah dan jangan pernah merasa tidak mampu. Jika sesuatu menimpa kamu, jangan berkata, “Jika saya berbuat begini dan begini, tentu perkara begitu akan terjadi.” Tetapi katalah, “Ini adalah ketentuan Allah dan keizinan Allah, Allah yang lakukannya,” daripada berkata, “Jika hanya” kerana ia membuka pintu untuk syaitan.


11) Mengingati Allah (zikrullah).

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.

(Ar-Rad : 28)


12) Memohon perlindungan dalam setiap doa.

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;

(Al-Baqarah : 45)


13) Jihad di jalan Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Kamu mestilah berjuang dalam jihad di jalan Allah, kerana ia adalah salah satu pintu ke syurga, dan Allah hilangkan kedukaan dan kebimbangan melaluinya.”


14) Menyebut-nyebut rahmat Allah baik yang jelas mahupun yang tersembunyi.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bersabda Rasulullah SAW, “Lihatlah kepada mereka yang berada di bawah kamu dan bukannya yang di atas kamu, supaya kamu tidak menganggap rahmat Allah ke atasmu itu sedikit.”


15) Menyibukkan diri dengan perkara-perkara berfaedah atau mencari ilmu yang bermanfaat.


16) Mencari sesuatu yang positif daripada sesuatu perkara selain mencari perkara negatif sahaja.

Abu Hurairah RA berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tiada seorang Muslim pun yang harus membenci Muslimah lain. Jika dia tidak menyukai salah satu sikap Muslimah tersebut, tetapi dia akan senang dengan sikapnya yang lain.”


17) Memahami bahawa hidup ini singkat dan masa amat berharga untuk dibazirkan dengan kebimbangan dan mengenangkan kedukaan.


18) Tidak menangguhkan sebarang kerja atau tugasan.


19) Selalu menjangka dan bersedia untuk pelbagai kemungkinan.


20) Menceritakan kepada para ulama’ dan meminta pendapat mereka.

Para tabi’in juga mengadu kepada para sahabat. Al-Zubair Ibn ‘Adi berkata, “Kami pergi berjumpa Anas bin Malik dan mengadu kepadanya tentang kesengsaraan kami semasa mengerjakan Haji.” Beliau memberitahu kami, “Bersabarlah, kerana tidak akan dating suatu masa lain melainkan masa itu lebih teruk, sehingga kamu berjumpa Tuhan kamu. Aku mendengarnya daripada Rasulullah SAW.”


21) Seseorang perlu tahu bahawa selepas kesusahan pasti datangnya kemudahan.

Allah SWT bersabda yang bermaksud, “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

(Al-Sharh : 5-6)


22) Pengubat lain adalah sesetengah jenis makanan.

Al-Bukhari RA berkata bahawa Aishah menyediakan talbeen untuk orang-orang yang sakit atau dilanda musibah dan Aishah berkata, “Aku mendengar daripada Rasulullah SAW bahawa talbeen menghangatkan hati orang sakit dan meringankan sesetengan kesedihan manusia.” Talbeen ialah sup atau air rebusan yang dibuat daripada gandum atau bran dan dicampur dengan madu. Ia dipanggil talbeen kerana menyerupai susu(laban).

Semoga para sahabat dan saya sendiri dapat mengamalkan saranan Islam dalam menghadapi sebarang masalah dan musibah. Dan semoga Allah memberkati kehidupan kita semua. Sekian dahulu untuk coretan kali ini, semoga kita berjumpa lagi, insyaAllah.

Wassalam.

Saya Mesti Islam di Sudut Akidah (part 4)

16. Saya mesti bertawakal sepenuhnya kepada Allah dalam setiap
keadaan dan menyandarkan setiap urusan kepadanya. Sifat tawakal
inilah yang membangkitkan kekuatan zahir dan batin di dalam jiwa
dan diri saya yang menyebabkan segala kepayahan dapat dihadapi
dengan mudah. Sifat ini menepati seruan Allah s.w.t:
"....sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah
baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).
(Surah Al-Talaq 65: Ayat 3)

Lihat betapa indahnya pesanan Rasulullah s.a.w untuk kita, di dalam
sebuah hadisnya:
"Peliharatitah perintah Allah nescaya ia akan memelihara engkau (sepanjang
masa), peliharalah larangan Allah nescaya engkau dapati ia selalu di
hadapanmu. Apabila kamu meminta, hendaklah kamu meminta kepada Allah
dan apabila kamu engkau memohon hendaklah engkau memohon petolongan
dari Allah. Ketahuilah, seandainya umat manusia sepakat untuk memberi
sesuatu manfaat untukmu, mereka tidak dapat memberinya melainkan
mengikut apa yang telah Allah tetapkan untukmu dan sekiranya mereka
sepakat untuk menimpakan engkau dengan sesuatu keburukan tidaklah
mereka dapat melakukannya melainkan dengaan sesuatu yang Allah Taala
telah tentukan ke atas dirimu, kerana telah terangkat pena dan telah kering
kertas (telah ditentukan kesemuanya)." (Hadith diriwayatkan oleh At-
Tirmizi berkata: Ini hadith Hasan Sahih)

17. Saya mestilah mensyukuri nikmat-nikmatnya ke atas diri saya yang
merupakan kurniaan dan rahmat yang tidak terhitung jumlahnya.
Bersyukur itu adalah satu dari tanda kemuliaan adab seseorang
penerima terhadap pemberi dan pengurnia. Allah menyatakan:
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak
mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran
dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 78)

Seterusnya Allah berfirman:
Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan
kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan ia serta kami keluarkan
daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan. 34- Dan
kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan
padanya beberapa mata air, 35- Supaya mereka makan dari buah-buahannya
dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak
bersyukur?.
(Surah Yasin 36: Ayat 33-35)

Sebenarnya Allah s.w.t telahpun menambahkan kurnianya kepada
orang-orang yang bersyukur dan mengugut akan menambah kerugian
terhadap golongan yang ingkar. Firman Allah:
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika
kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi
sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.
(Surah Ibrahim 14: Ayat 7)

18. Saya mestilah sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada
Allah, istighfar itu dapat membersihkan diri dari dosa di samping
memperbaharui taubat dan iman. Istighfar juga dapat memberikan
kerehatan dan keheningan kepada jiwa.
Allah berfirman:
Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri
(dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah,
nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
(Surah Al-Nisa' 4: Ayat 110)

Firman Allah seterusnya:
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau
menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon
ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan
dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji
yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya
dan akibatnya).
(Surah Ali-'Imran 3: ayat: 135)

19. Akhir sekali saya juga mestilah sentiasa bermuraqabah (merasai
berada di bawah pengawasan) dengan Allah s.w.t dalam keadaan
terang mahupun tersembunyi kerana mengingatkan firman Allah:
Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya
dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dialah yang keenamnya dan
tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan
Dia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Dia
akan memberitahu kepada mereka pada hari kiamat, apa yang mereka telah
kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
(Surah Al-Mujadalah 58: 7)

Berpegang dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat
pertama bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan
Islam sebagai cara hidupnya. Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa
yang terkandung di dalam Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah
s.a.w. Akidah adalah tunjang agama kita. Apabila rosaknya akidah kita, maka rosaklah akidah kita. Oleh itu, sama-samalah kita pelihara akidah kita dan semoga Allah sentiasa memelihara kebenaran akidah kita. Amiin.

12 April 2010

Saya Mesti Islam di Sudut Akidah (part 3)

11. Saya mesti meyakini bahawa pendapat dan pandangan para salaf
adalah lebih utama untuk diikuti supaya dapat menyelesaikan
perbahasan tentang penta'wilan dan pentha'thilan sesetengah ayat suci
Al-Quran, yakni membiarkan sebahagian dari sifat-sifat Allah di dalam
Al-Quran dengan menyerahkan hakikat sebenar mengenai maknanya
kepada Allah s.w.t.
Saya juga mesti meyakini bahawa berbagai bentuk penta'wilan
sesetengah ayat-ayat tertentu oleh golongan khalaf (terkemudian)
tidak wajar dijadikan sebab kepada perselisihan yang berlarutan dan
jangan sampai timbul kembali perbalahan di antara golongan khalaf di
masa lampau mahupun masa kini.

12. Saya juga mesti mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata
tidak menyekutukan dengan yang lain. Ini saya lakukan kerana
menyahut seruan Allah dan RasulNya yang menyeru manusia supaya
mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata dan tidak tunduk
kepada sesuatu selain Allah. Amaran ini jelas dalam firman Allah
s.w.t:
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat
seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah
kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)

13. Saya juga mestilah takut hanya kepadaNya dan tidak takut kepada
yang lain. Perasaan takut tersebut seharusnya menyebabkan saya
menjauhi kemurkaan Allah dan larangan-laranganNya.
Allah s.w.t menjelaskan:
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar
perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah,
maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.
(Surah Al-nur 24:Ayat 52)

Firman Allah s.w.t seterusnya:
Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya
semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab
Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.
(Surah Al-Mulk 67: Ayat 12)

14. Saya mesti sentiasa mengingati Allah dan berzikir menyebut namaNya
untuk menjadikan diam saya itu adalah dalam keadaan berfikir dan
apabila bercakap adalah kerana berzikir. Ini paling mujarab untuk jiwa
dan senjata paling ampuh untuk menghadapi serangan-serangan
zaman ini, pancaroba kehidupan serta asam garamnya. Inilah penawar
yang sangat diperlukan oleh manusia zaman ini. Sungguh benar
peringatan Allah yang menyatakan:
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan
"zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati
manusia.
(Surah Al-Ra'ad 13: Ayat 28)

FirmanNya lagi:
Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang
diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya
Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu
temannya yang tidak renggang daripadanya. 37- Dan sesungguhnya Syaitansyaitan
itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka
menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.
(Surah Al-Zukhruf 43: Ayat 36-37).

Dr. Briel sendiri mengakui kenyataan ini dengan menegaskan
"sesungguhnya orang-orang yang berpegang teguh dengan agama, ia
tidak akan dihinggapi penyakit jiwa. Manakala seorang pakar jiwa Dr.
Riel Karienji menyatakan: "Sebenarnya para doktor penyakit jiwa
menyedari bahawa keimanan yang kukuh dan pegangan yang teguh
terhadap ajaran agama oleh seseorang adalah satu jaminan untuk
menyembuhkan mereka darri penyakit gelisah, tegang perasaan,
penyakit saraf dan lain-lain.

15. Saya juga wajib menyintai Allah dengan sebenar-benar cinta. Cinta
yang menjadikan hati saya sentiasa merasa rindu dan terikat
denganNya. Kecintaan itu juga mendorong saya menambah amalanamalan
kebaikan, berkorban dan berjihad di jalannya di sepanjang
masa. Sekalipun hidup dalam kemewahan dan keseronokan dunia
serta kecintaan terhadap kaum kerabat, semuanya tidak sepatutnya menghalang saya dari mencintai Allah. Ini adalah sejajar dengan
seruan Allah yang mengingatkan:
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu
dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan
kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan
yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang
kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai
lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya,
maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab
seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang
yang fasiq (derhaka).
(Surah Al-Taubah 9: Ayat 24)

Pengorbanan demikian saya lakukan adalah untuk dapat merasai
kelazatan dan kemanisan iman seperti yang disyaratkan oleh Rasul
yang mulia s.a.w:
"Barang siapa yang ada padanya tiga syarat ini, ia dapat merasai
kemanisan iman:
a. Jika ia mencintai Allah dan rasulNya mengatasi kasihnya kepada yang
lain.
b. Jika ia menyintai seseorang, tidaklah ia cintai melainkan kerana Allah.
c. Jika ia benci untuk kembali ke dalam kekufuran sebagaimana ia benci
untuk memasuki api neraka.

05 April 2010

Salam Takziah

Assalamualaikum w.b.t..

Baru-baru ini Perdana dikejutkan dengan pemergian bonda kepada salah seorang ahli Perdana (Azzyanti). Sesungguhnya yang hidup tetap akan mati dan mati itu adalah suatu kepastian.

Semoga saudari kita sentiasa tabah meneruskan hidup tanpa kehadiran bonda tersayang di sisi. Semoga Allah memberkati roh bondanya.

Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat beliau.

Al-Fatihah..

Amiin..