Followers

29 Mac 2010

Saya Mestilah Islam di Sudut Akidah (part 2)

6. Saya mestilah beriman bahawa sekalian manusia melakukan kebaikan
dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Namun
demikian kebaikan yang dilakukan itu tidaklah berlaku, melainkan
dengan taufik dan 'inayah dari Allah. Manakala amalan jahat pula
tidaklah merupakan paksaan dari Allah tetapi ianya termasuk dalam
batasan keizinan dan kehendakNya.
Firman Allah s.w.t:
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan
kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya
(untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang
membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang
menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman
dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan
dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan
sebab kekotoran maksiat).
(Surah al-Syams 91: Ayat 7-10)
Dan firman Allah s.w.t;
Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat)
yang dikerjakannya.
(Surah Al-Muddathir 74: Ayat 38).

7. Saya juga mestilah beriman bahawa urusan penciptaan undangundang
itu adalah hak mutlak Allah s.w.t. Tidak harus sama sekali
manusia mendahului atau membelangkanginya. Apa yang dibolehkan
ialah ilmuan Muslim atau para ulama' berijtihad mengeluarkan
hukum-hukum dari nas-nas Syari'at dalam batas-batas yang diizinkan.
Firman Allah s.w.t:
Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua
perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya
terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah
Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk
kembali (dalam segala keadaan).
(Surah Al-Syura 42: Ayat 10)

8. Saya mestilah berusaha mengetahui nama-nama dan sifat-sifat Allah
yang layak bagi kemuliaanNya. Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah
s.a.w telah bersabda:
"Allah s.w.t mempunyai sembilan puluh sembilan nama, kurang satu seratus.
Sesiapa yang menghafaznya akan memasuki syurga. Allah itu ganjil (tunggal)
dan menyukai (bilangan) yang ganjil." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)
9. Saya mestilah berfikir merenungi kehebatan kejadian-kejadian Allah,
bukan memikirkan tentang ZatNya sebagai mengikuti dan mentaati
perintah Rasulullah s.a.w:
"Berfikirlah kamu tentang makhluk ciptaan Allah dan janganlah kamu
memikirkan tentang ZatNya kerana kamu tidaklah mengetahui keadaan
sebenarnya."
(Hadis diriwayatkan oleh Abu Nu'aim di dalam Al-Halyah dan Al-
Asbahani meriwayatkannya di dalam Al-Taghrib wa Al-Tarhib)

10. Berhubung dengan sifat-sifat Allah s.w.t terdapat banyak ayat-ayat
suci Al-Quran Al-Karim yang membuktikan kesempurnaan
ketuhana(UluhiyyahNya). Kita dapati beberapa ayat Al-Quran
membuktikan kewujudan Allah, sifat baqa' (kekal), sifat qadim (sedia
ada), sifat Ia berlainan dengan segala makhluk, tidak mempunyai
anak, tidak ada yang menandingiNya. Kita juga menemui ayat-ayat
yang menunjukkan Tuhan itu wujud dengan sendirinya, Maha Kaya
dari segala makhlukNya dan makhluk berhajat berhajat kepada
kebesaranNya. Demikian juga kita menemui ayat-ayat yang
menunjukkan keEsaan Allah pada ZatNya, sifat-sifatNya dan
perbuatanNya, kekuasaanNya, keagunganNya dan keluasan ilmuNya
ke atas sesuatu. Kita temui lagi ayat-ayat yang menunjukkan iradah
Allah mengatasi segala iradah yang lain dan Allah itu bersifat hidup
yang penuh dengan kesempurnaan.
Selain dari sifat-sifat yang disebut tadi, masih banyak lagi ayat-ayat
yang menerangkan sifat-sifat kesempurnaan lain bagi Allah s.w.t yang
tidak tercapai oleh daya pemikiran manusia yang terbatas, tentang
hakikat sebenarnya. Maha Suci Allah, kita tidaklah dapat
membataskan pujian kita terhadapNya sebagaimana memuji dirinya
sendiri.

to be continue..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan