Followers

27 Mac 2010

Saya Mestilah Islam di Sudut Akidah (part 1)

Berpegang dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat
pertama bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan
Islam sebagai cara hidupnya. Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa
yang terkandung di dalam Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah
s.a.w. Ia mestilah beriman dengan apa yang telah diimani oleh orang-orang
Islam terdahulu yang terdiri dari angkatan Salafus-Saleh serta para Imam
penyampai agama ini yang telah diakui kebaikan, kebaktian serta ketakwaan
mereka. Mereka ini mempunyai kefahaman yang mendalam lagi bersih
dalam urusan agama.
Bagi memastikan saya benar-benar Muslim dalam akidah maka saya
mestilah beriman dengan perkara-perkara berikut:


1. Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan
yang Maha Bijaksana lagi Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak
memerlukan pertolongan sesiapapun. Buktinya jelas pada kejadian
alam ini yang penuh dengan keindahan, kerapian dan keseimbangan,
saling perlu memerlukan di antara juzuk dengan juzuk yang lain.
Adalah mustahil semua kejadian ini akan kekal dan berterusan
sekiranya tidak berada di bawah penjagaan Tuhan yang Maha Tinggi
lagi Maha Kuasa. Firman Allah s.w.t:
َ"Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya
rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah
dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari
apa yang mereka sifatkan."
(Surah Al-Anbiya' 21: Ayat 22)


2. Saya mestilah beriman bahawa Tuhan yang Mada Mulia tidaklah
mencipta segala kejadian alam secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan.
Kerana mustahil bagi Allah yang bersifat dengan sifat-sifat
kesempurnaan itu mencipta sesuatu secara sia-sia. Adalah mustahil
seseorang itu dapat memahami maksud tujuan Allah menjadikan
sesuatu secara terperinci melainkan melalui penjelasan Rasulullah
s.a.w dan wahyu dari Allah s.w.t sendiri. Firman Allah s.w.t:
َ"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu
(dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu?
Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka
(dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh
alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang
mempunyai Arasy yang mulia."
(Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116)


3. Saya mestilah beriman bahawasanya Allah s.w.t telah mengutuskan
Rasul-rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan
mengajar manusia supaya mengenali Allah dan memahami matlamat
kejadian mereka, mengetahui asal-usul mereka dan ke mana mereka
akan kembali. Saya juga beriman bahawa Rasul terakhir dari kalangan
Rasul-rasul yang mulia itu ialah Nabi Muhammad s.a.w yang Allah
kurniakan kepadanya Al-Quran Al-Karim sebagai satu mukjizat yang
berkekalan. Firman Allah s.w.t:
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat
seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah
kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang
menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayat petunjuk oIeh Allah dan
ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di
bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang
mendustakan Rasul-rasulnya."
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)


4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan ialah
mengenali Allah 'Azzawajalla seperti mana yang Allah s.w.t sendiri
menjelaskannya, memberi penuh ketaatan kepadaNya dan
mengabdikan diri kepadaNya. Firman Allah s.w.t:
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk
mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali
menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak
menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah
Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah
sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha
Kuat Kukuh kekuasaanNya."
(Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)


5. Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat
kepada Allah ialah syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi
derhaka ialah api neraka. Allah menjelaskan:
َ"....sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk Neraka."
(Surah Al-Syura 42: Ayat 7)

~nantikan sambungannya~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan